suria

Polis Tunggu Untuk Siasat Pemandu Masih Tidak Sedar

KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu untuk menyoal seorang pemandu berkaitan kematian dua beranak dalam sebuah kereta yang terjunam ke dalam gaung di Km 417 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Rawang Sabtu lalu.

Pemandu berkenaan T.Selvakumar, 23, masih tidak sedarkan diri dan baru sahaja dipindahkan ke Hospital Kajang dari Hospital Ipoh.

"Kita masih menyiasat punca kejadian tetapi berdasarkan siasatan awal, kita mendapati pemandu kereta itu memandu dalam keadaan laju berdekatan gaung di lebuh raya sehingga menyebabkan dua penumpang dalam kereta tersebut maut," kata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Afandi.

Mayat penumpang berkenaan M. Margaret, 34, dan anaknya J.R.Ezekial Shammah, 1 tahun, ditemui dalam keadaan 20 peratus rangka semalam oleh petugas peronda PLUS yang terhidu bau busuk ketika mereka menjalankan rondaan.

Dalam kemalangan itu, Selvakumar ditemui cedera parah di kepala di tepi lebuh raya dan tidak mengingati apa yang berlaku.

Dia dimasukkan ke Hospital Slim River sebelum dihantar ke Hospital Ipoh.

"Kita masih menyiasat punca kejadian tetapi berdasarkan siasatan awal kita mendapati pemandu kereta itu memandu dalam keadaan laju berdekatan gaung di lebuh raya sehingga menyebabkan dua penumpang dalam kereta itu maut," kata Norel.

Beliau berkata, Margaret dan anaknya dilaporkan hilang pada hari kemalangan oleh ahli keluarga di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

Pengecaman Margaret dibuat berdasarkan kad pengenalan yang dijumpai di sebelah mayatnya.

Mayat kedua-dua mangsa telah dituntut dari Hospital Kuala Kubu Baru oleh anggota keluarga untuk dibakar di Ipoh hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain