suria

Polis Terima Tiga Laporan Menyamar Speaker Perak

IPOH: Polis masih menunggu arahan pejabat pendakwa raya berhubung tiga aduan polis yang dibuat terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh V. Sivakumar yang didakwa menyamar sebagai Speaker DUN Perak, kata Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof. Katanya siasatan terhadap laporan polis tersebut telah pun selesai dan telah dikemukakan kepada pejabat pendakwa raya.

Beliau berkata polis akan mengambil kenyataan Sivakumar sebaik sahaja mendapat arahan dari pejabat pendakwa raya.

"Polis menerima tiga laporan terhadap Sivakumar setakat ini. Semua laporan itu dibuat di Ipoh," katanya selepas Majlis Perhimpunan Memperbaharui Ikrar Sempena Peringatan Hari Polis Ke-203 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Zakaria berkata tiga laporan terhadap Sivakumar itu dibuat oleh Speaker Datuk R.Ganesan, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Perak Datuk Nadzri Ismail dan Pergerakan Pemuda Umno.

Kesemua laporan polis itu mendakwa Sivakumar melakukan jenayah penyamaran dengan mengeluarkan notis memanggil mesyuarat DUN dan menggunakan kepala surat rasmi Speaker DUN, katanya.

Dalam perkembangan lain, Zakaria menasihati orang ramai supaya tidak berkumpul di sekitar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tempat berlangsungnya Sidang Dewan Undangan Negeri Selasa ini.

Tegasnya, polis tidak akan teragak-agak bertindak kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan atau mengganggu ketenteraman awam semasa berlangsungnya persidangan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain