suria

PLUS Rugi RM13 Juta Akibat Kerosakan Harta Awamnya

KUALA LUMPUR: Konsesioner Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) membelanjakan lebih RM13 juta untuk memasang semula peralatan dan kemudahan yang rosak akibat kerosakan harta awamnya di sepanjang lebuh raya itu pada tahun lepas.

Ketua Pegawai Operasi Plus Expressways, Nik Airina Nik Jaffar berkata pada tempoh itu lebih 5,000 kes kerosakan harta dilaporkan di sepanjang lebuh raya berkenaan seperti pagar, kabel tembaga telefon kecemasan, kelengkapan di tandas dan perabot.

"Sungguhpun kita komited dengan perbelanjaan ini untuk keselesaan dan keselamatan pengguna kita, perbelanjaan ini lebih baik digunakan bagi projek menaik taraf kemudahan bagi manfaat semua pengguna," katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Beliau berkata PLUS komited untuk membanteras aktiviti merosakkan harta awam agar pengguna lebuh raya boleh menikmati perjalanan yang selesa dan menyenangkan.

Langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah ini termasuk meningkatkan pemantauan dan pengawasan serta menjalankan operasi bersama dengan pihak berkuasa serta polis di lebuh raya, tambahnya.

PLUS, katanya mempunyai lebih 300 anggota PlusRonda dan 60 pasukan intervensi yang bertugas 24 jam untuk mencegah aktiviti merosakkan harta awamnya.

Nik Airina berkata orang ramai boleh juga memainkan peranannya melaporkan aktiviti yang mencurigakan di sepanjang lebuh raya itu dengan menghubungi 24-jam PLUSLine di talian 1800-88-0000.

Lebuh raya itu yang menghubungkan banyak bandar raya dan bandar utama digunakan lebih sejuta kenderaan setiap hari. - BERNAMA

Artikel Lain