suria

Pesawat Terhempas Di Sawah, Juruterbang Pelatih Selamat

KUALA SELANGOR: Sebuah pesawat ringan jenis Eagle terhempas di kawasan sawah blok R, Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang dekat sini semalam.

Juruterbang pelatih yang mengendalikan pesawat itu secara solo, Tengku Zamir Farhan Tengku Zahadi, 21, cedera dan kini dirawat di Hospital Tanjung Karang.

"Keadaannya dilapor stabil dan keluarganya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu," kata Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Mohd Taib Ahmad kepada pemberita di sini.

Beliau berkata kejadian pada pukul 4.30 petang itu berlaku ketika juruterbang pelatih terbabit dalam perjalanan balik selepas melakukan latihan penerbangan secara solo dari Integrated Aviation Academy di Ipoh, Perak ke Kapar, Klang, dekat sini.

Mohd Taib berkata Tengku Zamir, dari Kota Baharu, Kelantan mengalami kecederaan pada rahang mulut, tangan dan luka di muka.

Beliau berkata polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.51 petang dan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bagi memaklumkan kejadian itu.- BERNAMA

Artikel Lain