suria

Penyelia Tidak Bertanggungjawab Jaga Tahanan: Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu seorang penyelia anggota polis tidak bertanggunjawab untuk menjaga keselamatan tahanan daripada dicederakan ketika soal siasat dilakukan.

Penyelia Detektif Loh Voon Chye, 54, berkata, pembantu penyelia yang bertanggungjawab jika seseorang tahanan dicederakan.

"Itu bukan tanggungjawab saya tetapi pembantu penyelia iaitu pembantu saya yang akan bertanggungjawab," katanya.

Loh, saksi ke-14 pendakwaan memberi keterangan dalam kes kematian A.Kugan, suspek kes curi kereta mewah yang mati dalam tahanan polis lima hari selepas ditahan pada 15 Januari tahun lepas.

Tertuduh dalam perbicaraan kes itu, Konstabel V. Navindran, 28, mengaku tidak bersalah 1 Oktober lalu atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan, 23, di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, 7 pagi, 16 Januari tahun lalu.

Ketika disoal balas Peguam bela Datuk P M Nagarajan, Loh pada mulanya berkata, seseorang penyelia bertanggungjawab jika anggota bawahannya mencederakan tahanan.

Bagaimanapun beliau menukar jawapan selepas beberapa kali disoal Nagarajan adakah seseorang penyelia perlu menjaga keselamatan suspek atau tahanan.

Loh turut menjelaskan soal siasat boleh dijalankan oleh mana-mana anggota polis walaupun tanpa pangkat.

Dalam keterangannya, beliau berkata, ada melawat Kugan dan sepanjang lawatan itu beliau tidak melihat apa-apa kecederaan terhadap Kugan kerana mangsa berpakaian lokap.

Loh juga tidak menerima sebarang laporan mengenai ketidakselesaan Kugan ketika dalam tahanan mahupun aduan mangsa yang menyatakan dirinya dipukul atau dicederakan.

Katanya, pukul 11.30 pagi, 20 Januari 2009, beliau ke Balai Polis Taipan untuk memberikan perkembangan terkini mengenai kes curi kereta yang dihadapi Kugan kepada pegawai atasannya, DSP Rodney Pasla Harris.

"Ketika perbincangan dilakukan, dalam pukul 11.45 pagi Navindran ada datang ke pejabat untuk memberitahu Kugan mengalami sesak nafas dan matanya terbeliak ke atas.

"Selepas itu Deputi Supritendan Rodney mengarahkan saya menghubungi ambulan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya selepas Doktor Baldive Singh yang datang dari klinik berdekatan mengesahkan Kugan telah mati," katanya.

Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Mohd Abbas, Loh berkata, Kugan hanya memberi kerjasama dengan Navindran dan Koperal Avtar Singh ketika soal siasat.

Katanya, Kugan tidak memberi kerjasama dengan anggota lain mungkin kerana lebih selesa berkomunikasi dengan Avtar yang fasih berbahasa Tamil.

Terdahulu saksi pendakwaan ke-13, Sarjan Mejar Steven Gregory, 43, dari Bahagian Jenayah Berat IPK Selangor, memberitahu mahkamah beliau ada berjumpa dengan Kugan kira-kira tujuh minit pada 2.30 petang, 15 Januari hari dia ditahan.

"Dalam tempoh itu, saya tidak melihat sebarang kecederaan terhadap Kugan," katanya.

Navindran didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Aslam Zainudin bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain