suria

Pendedahan Zulkifli Noordin Dilihat Bukti Pembangkang Sanggup Lakukan Apa Saja

KUALA LUMPUR: Pendedahan Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin semalam mengenai tawaran kepada beliau untuk memburukkan Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat sebagai satu bukti bahawa pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk menabur fitnah untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional.

"Saya tidak hairan dengan cerita sebegini, sebab ia jadi kebiasaan pembangkang untuk fitnah dan lancar strategi provokasi untuk dapat kuasa," kata Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Datuk Bung Moktar Radin di lobi Parlimen di sini hari ini.

Anggota Parlimen Kinabatangan itu mengulas pendedahan Zulkifli di Dewan Rakyat bahawa beliau pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Zulkifli, yang dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat, memberitahu Parlimen bahawa beliau pernah diminta mengaitkan anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dengan satu kes pembunuhan pada 2004.

Dakwaan Zulkifli dibuat genap seminggu selepas Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, yang bekas anggota PKR, bahawa rancangan "16 September" adalah satu pembohongan pembangkang.

Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata bahawa apa yang dinyatakan oleh Zulkifli itu menunjukkan pembangkang sanggup melakukan perbuatan yang seolah-olah menghalalkan apa saja caranya untuk mencapai matlamat mereka.

Anggota Parlimen Tangga Baru Datuk Idris Haron berkata pengakuan Zulkifli menggambarkan beliau tidak tahan dengan taktik kotor sesetengah pihak dalam pakatan pembangkang.

Wakil rakyat Bebas Nibong Tebal, Tan Tee Beng, yang juga bekas anggota PKR, berkata dakwaan Zulkifli itu perlu diteliti pihak terbabit. - BERNAMA

Artikel Lain