suria

Kugan Jerit Minta Tolong Kerana Sesak Nafas: Saksi

PETALING JAYA: Seorang anggota polis hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa A.Kugan yang mati dalam lokap telah meminta pertolongan daripada anggota yang bertugas dalam nada cemas ketika merasa dirinya sesak nafas.

Lans Koperal Mohd Sani Mohd Sarip, 42, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Jenayah Berat) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berkata, beliau bersama Konstabel V. Navindran pergi ke arah Kugan untuk memberi bantuan kecemasan.

"Dia meminta kami membangunkannya dan menyandarkannya ke dinding...dia kelihatan sesak nafas," kata ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abazafree Mohd Abbas.

Sebelum kejadian itu, katanya, pegawai penyiasat Asisten Supritendan Rodney Pasla Harris, telah berjumpa dengan Kugan selama 30 minit di lokap Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, kerana suspek mahu memberikan maklumat mengenai lokasi kereta mewah yang dicuri disimpan.

Mohd Sani berkata, selepas Rodney keluar bersama anggota lain dan berbual seketika di luar kaunter pejabat balai polis itu, beliau mendengar suara Kugan memanggil Detektif Koperal M.Paramasimban untuk memberikannya air.

Beliau yang merupakan saksi pendakwaan ke-15 memberi keterangan dalam kes kematian Kugan dalam tahanan polis beberapa hari selepas ditahan pada 15 Jan tahun lalu kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta.

Tertuduh dalam perbicaraan kes itu, Navindran, 28, mengaku tidak bersalah pada 1 Oktober lalu terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan, 23.

Navindran yang diwakili peguam Datuk P.M. Nagarajan didakwa melakukan perbuatan itu di bilik soal siasat pejabat D9 di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya pada pukul 7 pagi, 16 Januari 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Navindran turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Kugan pada pukul 7 pagi dan 4 petang di tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 330 kanun sama.

Seksyen itu membawa hukuman penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mohd Sani berkata, beberapa minit kemudian, beliau bersama anggota lain mendengar Kugan menjerit meminta pertolongan dan beliau kemudian memaklumkan keadaan Kugan kepada Rodney.

Mohd Sani berkata, Rodney yang berada di luar telah mengarahkan Navindran mendapatkan doktor daripada klinik yang berdekatan dengan balai.

Dalam prosiding itu, Mohd Sani menjelaskan Kugan tidak mengalami sebarang kecederaan dan sihat ketika soal siasat dilakukan.

Katanya, beliau menerima Kugan pada 15 Januari tahun lepas, jam lebih kurang 4 petang, selepas dia ditahan kerana disyaki terlibat kegiatan curi kereta mewah.

Beliau mengaku bahawa Kugan tidak mengalami sebarang kecederaan ketika soal siasat dilakukan sehingga Kugan dilaporkan mati pada 20 Jan.

Katanya, Kugan tidak memberikan kerjasama pada awal soal siasat.

Beliau berkata, setiap kali dia menerima dan menyerahkan tugas mengikut syif kerja, beliau melihat Kugan tidak mengalami sebarang masalah atau kecederaan.

Bagaimanapun, ketika soal siasat dilakukan kali kedua dan ketiga, Kugan memberi kerjasama mengenai kes curi kereta dan langgar belakang, katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain