suria

Kajian Kadar Tol Akan Dibawa Ke Mesyuarat Kabinet

KUALA LUMPUR: Kajian mengenai kadar tol di 10 lebuhraya yang sepatutnya dinaikkan tahun ini, termasuk Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur, sudahpun dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata bagaimanapun keputusan mengenainya, sama ada tol akan dinaikkan atau kerajaan akan terus memberi pampasan untuk mengekalkan kadar tol semasa, akan diketahui setelah kajian itu dibentang ke mesyuarat Jemaah Menteri.

"Kerajaan mengambil kira dari segi harga tol yang dikenakan kepada pengguna-pengguna lebuhraya, sebab itu kerajaan berhati-hati untuk menentukan kadar kenaikan tol pada satu-satu masa kenaikan," katanya semasa menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (DAP-Serdang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Teo ingin tahu sama ada kerajaan akan menaikkan kadar tol di 10 lebuhraya tersebut.

Menjawab soalan asal Teo, Shaziman berkata pemberian diskaun dan pengecualian tol sempena musim perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini membabitkan implikasi kewangan RM1.3 juta, yang ditanggung oleh 17 syarikat konsesi yang menyertai program itu.

Shaziman turut menafikan dakwaan Teo bahawa kos yang ditanggung untuk pemberian diskaun dan pengecualian tol itu adalah 'kacang putih' kerana syarikat-syarikat tersebut meraih keuntungan yang tinggi.

Beliau berkata ini kerana syarikat-syarikat itu juga terpaksa menanggung kos penyelenggaraan dan menaik taraf lebuh raya yang begitu tinggi. - BERNAMA

Artikel Lain