suria

Juruterbang Terbunuh Pesawat TUDM Terhempas Di Hutan Sintok

ALOR SETAR: Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 Mark II yang dipandunya terhempas di kawasan hutan dekat Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, kira-kira pukul 10.15 pagi ini.

Juruterbang pesawat itu, Mejar Muhammed Zulrihan Jusof, jurulatih di Kolej Penerbangan TUDM Alor Setar, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut kenyataan media Kementerian Pertahanan, pesawat tersebut berlepas dari pangkalan TUDM Kepala Batas, dekat Alor Setar pukul 10.03 minit pagi untuk tujuan latihan apabila kejadian itu berlaku.

Jenazah Mejar Muhammed Zulrihan ditemui pasukan mencari dan menyelamat TUDM berdekatan pesawat yang terhempas dan dibawa keluar dari hutan menggunakan helikopter S61A-4 Nuri.

Jenazahnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk dibedah siasat, kata kenyataan itu.

Allahyarham yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, meninggalkan seorang balu, Wizana Abdul Ghani dan tiga orang anak. Allahyarham menyertai TUDM pada 25 Februari 1991 dan berkhidmat sebagai jurulatih penerbangan di kolej itu sejak 1 Januari 2008.

Menurut kenyataan itu, TUDM telah menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud dan seluruh warga TUDM mengucapkan takziah kepada isteri, anak-anak serta semua ahli keluarga Allahyarham.

"TUDM amat menghargai jasa, bakti dan pengorbanan yang telah disumbangkan oleh wira TUDM ini dalam mempertahankan kedaulatan dan kemananan negara," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Lain