suria

Infrastruktur Tahap Dunia Jadikan Malaysia Negara Maju

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tumpuan harus diberikan kepada pembangunan infrastruktur bertahap dunia untuk mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) adalah satu yang boleh dikatakan sebagai 'key enabler' untuk merubah Malaysia daripada sebuah negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi.

"Sudah pasti bahawa perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi ini akan menjadikan Malaysia ini sebagai sebuah negara Abad ke-21," katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan HSBB di Dataran Merdeka di sini malam tadi.

Katanya perkhidmatan HSBB ini memberi kesan yang amat besar sebagai pemangkin kepada peningkatan ekonomi, meningkatkan lagi daya saing negara, memberi keyakinan kepada pelabur dari luar dan dalam negara, menjadi sesuatu yang boleh mengembangkan pemikiran kreatif dan inovatif dan menjadi satu lagi punca yang boleh menyebar luas segala maklumat dan pengetahuan kepada rakyat jelata.

"Tidak syak lagi HSBB ini juga akan mengubah daya hidup kita menjadi lebih canggih, menjadi lebih sofistikated, menjadi lebih mudah untuk kita berhubung antara satu sama lain.

"Sebagai contoh, saya juga telah menggunakan perkhidmatan ini apabila saya menjemput 300 rakan laman Facebook saya untuk minum petang dengan saya baru-baru ini.

Daripada 138,000 yang sudah daftar sebagai rakan Facebook saya, saya telah menjemput 300 hadir di jamuan teh. Saya rasa melalui cara ini saya dapat berkomunikasi dengan rakyat secara langsung," katanya.

Inisiatif jalur lebar ini diputuskan oleh Najib yang juga ketika itu Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2007 dan turut mempengerusikan jawatankuasa kabinet mengenai jalur lebar sebelum diambil alih Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meneruskan pelaksanaan inisiatif penting negara ini.

Najib berkata kerajaan memutuskan melancarkan usahasama antara kerajaan dan swasta dalam bentuk perkongsian awam dan swasta di mana kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion dalam masa tiga tahun setengah dan Telekom Malaysia menyediakan RM8.9 bilion dalam masa 10 tahun.

Beliau berkata perkhidmatan HSBB ini perlu difahami dan dihayati bahawa ia adalah kebaikan kepada negara, ekonomi, daya saing serta kepada individu bagi memastikan permintaan terhadap perkhidmatan berkenaan terus meningkat.

"Oleh itu, selain daripada perbekalan dan perkhidmatan yang berkualiti, kita hendak beritahu rakyat bahawa ini adalah untuk kebaikan mereka. Saya berharap perkara mengenai pendidikan awam juga kita lakukan supaya permintaan terhadap HSBB ini akan terus meningkat," katanya.

Pada majlis pelancaran itu juga, Najib mengumumkan enam inisiatif iaitu pelaksanaan pusat jalur lebar komuniti (PJK) ke rumah di mana satu jalur lebar yang akan menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 615,000 orang di 246 lokasi melibatkan peruntukan RM60 juta.

Beliau juga mengumumkan penubuhan pusat internet rakyat di 138 premis Jabatan Penerangan di seluruh negara yang memberi liputan jalur lebar kepada 400,000 pengguna serta e-kiosk yang akan disediakan di pusat kemasyarakatan dan pejabat mukim yang melibatkan 1,100 mukim di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM4 juta.

Di bawah inisiatif ini juga, bagi liputan selular awam, sebanyak 873 menara baru telekomunikasi akan dibina di seluruh negara termasuk 278 menara di Sabah dan 257 menara di Sarawak.

Sejumlah RM1 bilion diperuntukkan daripada dana khidmat sejagat atau UPS dengan persetujuan penyedia perkhidmatan akan digunakan untuk mengagih-agihkankan komputer-komputer riba atau notebook kepada pelajar-pelajar yang kurang mampu di seluruh negara, katanya.

Najib berkata Telekom Malaysia telah bersetuju untuk memperkenalkan pakej jalur lebar berserta netbook dengan bayaran dikurangkan daripada RM50 kepada RM38 dan bagi kawasan USP, jumlah ini dikurangkan lagi kepada RM20.- BERNAMA

Artikel Lain