suria

Bekas Setiausaha Politik Tun Mahathir Didenda RM20,000 Hina Mahkamah

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang, hari ini didenda RM20,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah menghina mahkamah.

Hakim Noor Azian Shaari, dalam keputusannya, memerintahkan supaya jumlah denda itu dibayar dalam tempoh seminggu.

Chang disabit menghina mahkamah apabila dia gagal memohon maaf kepada mahkamah selepas berlaku pertengkaran antara beliau, hakim dan peguam ketika di soal balas oleh peguam dalam prosiding saman fitnah terhadap American Express (Malaysia) Sdn Bhd, hari ini.

Chang, 60, kemudian bertindak keluar dari kandang saksi dengan berkata bahawa mahkamah boleh melakukan apa sahaja seperti membatalkan samannya dan beliau akan mengadu kepada Ketua Hakim Negara berhubung perkara itu.

Hakim Noor Azian kemudian mengarahkan Chang supaya memohon maaf tetapi beliau enggan berbuat demikian sehingga menyebabkan dia meminta polis menahannya.

Chang merupakan saksi pertama dalam kes yang bermula hari ini. Saman fitnah itu terhadap American Express difailkan pada 2002.

Ketika tuduhan menghina dibacakan, Noor Azian menyoal Chang yang berdiri di tempat duduk peguam, untuk pengakuan tetapi dia tidak memberi respon.

Noor Azian: "Saya tanya anda, adakah anda mahu menjawab tuduhan itu? Chang: Tidak Noor Azian: "Anda faham dengan akibatnya?" Chang: "Ya" Noor Azian: "Saya dapati anda bersalah. Adakah anda mahu memohon mengurangkan hukuman?" Chang: "Ketika ini saya tidak mahu bercakap apa-apa dan saya mahu merayu."

Selepas keputusan itu, hakim berkata pendengaran kes saman itu disambung esok dan jika Chang gagal hadir, beliau akan membatalkan saman itu.

Chang diwakili oleh peguam Manjit Singh dalam kes saman itu manakala Zainur Zakaria bertindak bagi Chang dalam prosiding menghina mahkamah. American Express diwakili oleh Prakash Menon. - BERNAMA

Artikel Lain