suria

Puteri Umno Jadikan Institut Pediatrik HKL Anak Angkat

KUALA LUMPUR: Puteri Umno Wilayah Persekutuan akan menjadikan Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai 'anak angkat' pergerakan itu.

"Inisiatif ini adalah berikutan dengan negara kita yang hangat digemparkan dengan banyak kes penderaan (kanak-kanak) baru-baru ini," kata Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, Puteri Umno juga akan bekerjasama dengan ketua Puteri Umno negeri-negeri untuk menawarkan aktiviti sukarelawan dengan pihak hospital.

"Usaha (mengambil) 'anak angkat' ini bukan hanya membabitkan kanak-kanak malah pihak ibu bapa juga akan diberi perhatian.

"Kita perlu mendidik komuniti kita untuk melahirkan suasana menyayangi kanak-kanak supaya kes penderaan kanak-kanak dapat dielakkan," katanya kepada pemberita hari ini semasa melawat bayi mangsa penderaan di Port Dickson yang kini dirawat di HKL.

Bayi itu kini dalam keadaan koma selepas dipercayai didera sepasang suami isteri di Taman PD Utama, Port Dickson.

Sementara itu, Ketua Jabatan Neurosurgeri HKL, Dr Mohd Saffari Mohammed Haspani berkata, keadaan dan pergerakan bayi berkenaan, Mohd Al-Faiz, yang berusia empat bulan, kini bertambah baik walaupun masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Mengenai masa depan bayi tersebut, Dr Mohd Saffari berkata, besar kemungkinan Mohd Al-Faiz akan mengalami masalah jangka panjang akibat pendarahan otak sebelah kanan.

Rosnah turut memberi jaminan bahawa Puteri Umno juga akan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk memastikan kebajikan bayi tersebut dan perkara itu akan dibincangkan selepas pihak polis selesai menjalankan siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain