suria

Polis Patahkan Cubaan Seludup Kereta Mewah

PADANG BESAR: Cubaan menyeludup sebuah kereta mewah ke Thailand dipatahkan oleh polis di sini Isnin lalu dan seorang lelaki rakyat Thailand yang dikaitkan dengan kes itu telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md Dros berkata hari ini, kereta mewah jenis Toyota Camry berwarna hitam itu dirampas di sebuah rumah kosong di Jalan Padang Besar-Rimba Mas dekat sini.

Berdasarkan maklumat awam, polis melakukan intipan di lokasi berkenaan dan kira-kira pukul 6.40 pagi hari berkenaan, sebuah kenderaan yang berdaftar di Thailand tiba di situ dan seorang lelaki diturunkan di situ dan kemudian kenderaan itu berlalu dari situ.

"Polis kemudian menahan lelaki berumur 44 tahun itu dan daripadanya ditemui kunci Toyota Camry itu yang dianggarkan bernilai RM170,000," katanya.

Che Man berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu milik seorang peniaga berumur 47 tahun telah dilaporkan hilang pada 2 Mac lalu di hadapan sebuah kedai di Damansara Perdana.

Toyota Camry itu kemudiannya telah diletakkan nombor pendaftaran palsu Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain