suria

Polis Buru Empat Lelaki Disyaki Samun Dua Rumah Dalam Sejam

KUANTAN: Polis sedang memburu empat lelaki yang disyaki terbabit dalam dua kejadian samun di Rompin, kira-kira 140 km dari sini, dalam tempoh hanya sejam, awal pagi semalam.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Insp Nurzulaikha Isha berkata dalam kejadian pertama pada kira-kira pukul 3 pagi, empat lelaki itu menyamun seorang lelaki berusia 35 tahun bersama isteri dan bapa mentuanya di sebuah rumah di Kampung Alai, Kota Bahagia.

Bercakap kepada pemberita di sini Rabu beliau berkata keempat-empat lelaki yang dipercayai warga Indonesia itu melarikan wang tunai serta telefon bimbit dalam kejadian tersebut.

Katanya kumpulan yang sama kemudiannya dipercayai menyamun sebuah rumah di Kampung Pinang, Muadzam Shah dekat Rompin, dan melarikan sebuah kereta Naza Sutera, sebelum meninggalkannya kira-kira 12 kilometer tempat kejadian.

Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi itu, suspek yang masuk ke dalam rumah melalui tingkap dapur, mengacukan parang sebelum mengikat tangan semua penghuni rumah itu di dalam sebuah bilik dan menggeledah rumah.

Nurzulaikha berkata suspek kemudiannya melarikan beberapa barangan berharga serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM11,000, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain