suria

Pembuat Roti Rela Dirotan Daripada Dipenjara

KUALA LUMPUR: Seorang pembuat roti yang mengaku bersalah merompak hampir setengah juta ringgit memberitahu mahkamah hari ini dia lebih rela dihukum rotan berulang kali daripada dipenjarakan untuk tempoh yang lama.

Liew Young Koung, 24, yang berkali-kali merayu dikenakan hukuman rotan itu tidak menghiraukan nasihat Hakim Mahkamah Sesyen Zainal Abidin Kamarudin yang menyatakan kesan sebatan amat sakit.

Liew yang telah direman lebih setahun setengah berkata dia enggan dipenjarakan lagi kerana perlu menyara isteri, seorang anak lelaki dan neneknya.

Dia yang tidak diwakili peguam menyatakan rayuan itu menerusi sepucuk surat yang diserahkan kepada Zainal Abidin ketika memohon hukuman diringankan dan bermula dari tarikh dia ditangkap.

Liew turut memohon dipenjarakan di Sungai Buloh supaya dekat dengan abangnya tetapi Zainal Abidin berkata dia perlu menjalani hukuman di penjara Kajang kerana penjara Sungai Buloh untuk tahanan reman sahaja.

Zainal Abidin sempat memujuknya sambil berseloroh dengan menyatakan makanan di penjara Kajang lebih sedap.

Tertuduh yang mendengar perkataan 'makanan lebih sedap' tiba-tiba menyetujui dan mengangguk kepala seolah-olah bersetuju dengan saranan Zainal Abidin.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara selama tujuh tahun dan sembilan sebatan dikenakan ke atas Liew bermula dari tarikh dia ditangkap.

Bagi tuduhan pertama, Liew didakwa bersama-sama tiga lagi yang masih bebas merompak sebuah kereta Mini Cooper bernilai RM230,000, wang tunai RM5,000, pelbagai barang kemas bernilai RM50,000, dua telefon bimbit (RM5,000) dan kad bank yang kesemua bernilai RM290,000 milik mangsa seorang pereka, Mariyati Muhamad Hassan, 32.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah No 1 Lorong Limau Manis 3, Bangsar pada pukul 5.40 petang, 5 Okt 2008.

Bagi kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dari tarikh dia ditangkap dan tiga sebatan.

Dia turut dihukum penjara enam bulan kerana gagal menunjukkan kad pengenalan.

Bagi tuduhan kedua, Liew didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas merompak sebuah kereta Honda Civic, sebuah telefon bimbit, buku cek, kunci bank dan penyata bank yang kesemua bernilai RM110,000 milik pengurus jualan Tan Chung Keong, 32, dengan bersenjatakan parang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di 1033, Jalan Selesa 3, Taman Gembira, pada pukul 4 pagi, 3 Sept 2008.

Bagi kesalahan itu Liew dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun serta tiga sebatan.

Dalam pertuduhan ketiga, Liew didakwa bersama-sama tiga lagi yang masih bebas merompak antaranya kad kredit, kad ATM, dua buku cek, wang tunai RM700, tiga telefon bimbit dan dua cermin mata yang kesemua bernilai RM8,000 milik ejen pemasaran Heen Sai Hoe, 32.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No 38, Jalan Limau Manis, Bangsar pada pukul 12.01 malam, 3 Sept 2008 mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Untuk kesalahan itu Liew dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Charanjit Singh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain