suria

Bekas PM Britain Puji Najib Kemudi Ekonomi Malaysia

HONG KONG: Bekas perdana menteri Britain Sir John Major memuji Datuk Seri Najib Tun Razak di atas keterbukaan dan sikap berterus terang beliau dengan pengurus dana asing di sini dalam menghuraikan tentang keadaan ekonomi Malaysia dan mendengar kebimbangan mereka.

"Malaysia sesungguhnya berada di bawah kepimpinan yang baik, berdasarkan kepada apa yang Perdana Menteri Malaysia Malaysia sampaikan kepada pengurus dana asing di persidangan Credit Suisse Asian Investment di sini pada Selasa, dan komitmen beliau untuk menukarkan Malaysia menjadi sebuah ekonomi maju," katanya yang kemudiannya mendapat tepukan daripada para audien di International Financial Centre di sini.

Major, penasihat khas Credit Suisse, berucap di majlis makan malam yang dianjurkan oleh CIMB dan kumpulan perkhidmatan kewangan di mana Najib menjadi tetamu kehormat selepas persidangan peringkat tinggi itu yang mengumpulkan kira-kira 100 pengurus dana terkemuka serantau.

Najib mengadakan pertemuan secara berturutan dengan pelbagai pengurus dana serta ketua-ketua industri dan menyampaikan ucap tama di majlis makan tengah hari yang diperantarakan oleh Major.

Major berkata Najib menerangkan dengan jelas dalam usaha menjual Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan di mana pengurus dana asing benar-benar menghargainya, yang mana mereka sebaliknya berterus terang tentang apa yang kurang dalam pasaran ekuiti dan modal Malaysia.

Terdahulu, Najib, semasa memberi ucapan berkata beliau mengambil berat apa perubahan yang pengurus dana mahu lihat dalam pasaran modal Malaysia.

Perdana Menteri berkata selepas perbincangan hangat dengan pengurus dana, beliau dapat memahami sekarang bagaimana mereka melihat Malaysia.

"Anda suka pasaran Malaysia, yang stabil tetapi tidak cukup menarik, jadi kita perlu melakukan sesuatu mengenainya memandangkan faktor yang mengujakan.

"Apabila pasaran dunia meningkat tinggi, pasaran Malaysia tidak banyak bergerak, tetapi apa yang baiknya ialah apabila pasaran dunia merudum, kita tidak turut sama jatuh menjunam dengan teruk," kata Najib.

Bagaimanapun, katanya, pergerakan dalam pasaran menguja pengurus dana, dan itulah sebabnya Malaysia perlu mengadakan lebih banyak peluang bagi pelaburan dengan mewujudkan syarikat yang mempunyai rekod pencapaian yang baik bagi penyenaraian.

Beralih kepada reformasi ekonomi, beliau berkata meskipun pengurus dana sukakan reformasi itu, namun mereka mahukannya dipercepat dan dilaksanakan dengan lebih segera lagi.

Menyedari dimensi politik di Malaysia, kata Najib, masih banyak yang boleh dilakukan, iaitu pada asasnya, mendengar pandangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata amat penting memastikan mereka faham kenapa Malaysia perlu menjadi lebih berdaya saing, lebih kuat dari segi ekonomi dan kemudiannya muncul sebagai satu destinasi pelaburan yang menarik.

"Pada dasarnya, inilah Model Ekonomi Baru yang menentukan hala tuju masa depan dari sudut transformasi ekonomi Malaysia," kata beliau.

Najib berkata MEB, yang akan diumumkan pada 30 Mac, haruslah merupakan transformasi sepenuhnya dan bukan hanya satu perubahan tambahan.

"Saya percaya kita harus bergerak secara menyeluruh agar berlaku transformasi Malaysia secara besar-besaran akhirnya," kata beliau

Ke arah ini, beliau menyeru pengurus dana asing melabur di Malaysia untuk jangka panjang dan menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia akan muncul sebagai prospek menarik bagi pengurus dana dan pelabur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain