suria

Bekas Penyelia PKR DUN Paloh Dituduh Kemuka Invois Palsu RM28,000

GUA MUSANG: Bekas penyelia Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengemukakan invois yang mengandungi butiran palsu membabitkan RM28,000 untuk pembinaan sebuah rumah, tiga tahun lalu.

Sanusi Junoh dituduh mengemukakan invois Aras Satu Trading bernombor 7221 yang mengandungi butiran palsu bagi membekal dan membina satu unit rumah Bantuan Dhua'fat di Kampung Limau Kasturi, dekat sini, berjumlah RM28,000 di Pejabat PKR DUN Paloh, dekat sini, pada 4 Dis 2007. Bagaimanapun, rumah itu tidak dibina.

Sanusi, 46, yang mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Zainal L. Saleh membenarkan Sanusi diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 23 Jun sebagai tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Yunn Yiing manakala Sanusi diwakili peguam Wan Afandi Wan Abdullah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain