suria

ASP Ke Bawah Mula Bertugas Luar Pejabat Jun Ini

KUALA LUMPUR: Seramai 6,000 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Asisten Superitenden Polis (ASP) ke bawah yang kini melakukan tugas-tugas di pejabat dijangka akan memulakan tugas di luar pejabat sepenuhnya Jun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penstrukturan itu sudah dimulakan secara berperingkat dan pegawai yang terlibat akan melakukan tugas seperti meronda.

Beliau berkata, bagi mengisi semula tugasan pegawai yang akan bertugas luar, penjawat awam yang bertugas di beberapa kementerian akan ditukarkan ke dalam pasukan itu untuk menjalankan tugasan di pejabat.

"Ini merupakan pendekatan di luar kotak pengurusan tertinggi PDRM dan kita jangka semua pegawai ini akan mula bertugas di luar pejabat sepenuhnya pada Jun depan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan Komandan di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata pegawai-pegawai itu akan menjalankan tugas di luar pejabat mengikut pangkat mereka.

Bernama sebelum ini melaporkan PDRM kini dalam proses penstrukturan semula pasukan di samping menambah pegawai-pegawai awam dalam pasukan itu yang akan menggantikan pegawai beruniform yang bertugas di pejabat selepas diluluskan kerajaan.

Dalam laporan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata pihaknya juga akan melaksanakan 14,000 pengambilan baru anggota dan pegawai polis tahun ini selain mengubah cara latihan kepada anggota-anggota baru.

Menurut Musa, tahun ini sahaja seramai 23,000 anggota dan pegawai polis menjalankan tugas rondaan di seluruh negara yang turut dibantu oleh anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Malaysia (Rela) bagi mengekang jenayah jalanan.

Pada majlis yang sama hari ini, Musa berkata pihaknya menolak permohonan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk memiliki kuasa sebagai polis sukarela kerana pihak berkuasa tempatan itu sudah memiliki kuasanya sendiri.

"Penolakan itu dibuat kerana pegawai-pegawai mereka sudah mempunyai kuasa dan mereka tak perlu lagi kuasa polis kerana ini akan menyebabkan mereka mempunyai dua kuasa dalam satu masa," katanya.

Beliau berkata, kuasa yang dimiliki anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan itu sudah memadai dan mereka menjalankan tugas berdasarkan kuasa yang mereka ada. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain