suria

Tindakan SPRM Pantau Pemilihan MCA Wajar: Tee Keat

BUTTERWORTH: Langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau laman blog serta laporan media menjelang pemilihan MCA pada 28 Mac ini adalah tindakan wajar bagi memastikan ia tidak dicemari rasuah dan politik wang, kata Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata walaupun ia sekadar pemilihan parti, tindakan SPRM itu dialu-alukan bagi mengelak budaya tidak sihat yang bertentangan dengan amalan sosial daripada berlaku dalam parti.

"Pemilihan parti bukan untuk kita tabur janji atau wang ringgit," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah di SRJK (C) Sin Ya dekat sini, hari ini.

Semalam, Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali dilaporkan berkata suruhanjaya itu sedang memantau laman blog serta laporan media berhubung dakwaan wujudnya politik wang menjelang pemilihan MCA, Ahad ini.

Mustafar berkata, siasatan akan dijalankan jika SPRM menerima aduan mengenainya.

Pemilihan baru MCA hujung minggu ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan presiden.

Tee Keat dan bekas Presiden Tan Sri Ong Ka Ting akan bersaing dengan "pendatang baru" bagi jawatan itu, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang juga bekas Timbalan Presiden. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain