suria

Tiga Rumah Hangus, lapan Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

KUCHING: Lapan sekeluarga dari Kampung Rantau Panjang Batu Kawa di sini tinggal sehelai sepinggang apabila tiga rumah separuh konkrit musnah dalam satu kebakaran kira-kira jam 3 petang ini.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Abang Yusof Abang Shabeli berkata dua jentera bomba dan tiga unit bomba bermotosikal masing-masing dari Balai Bomba Batu Lintang dan Padungan dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran selepas menerima laporan 3.24 petang ini.

"Dalam kejadian petang ini tiada mangsa yang terkorban kecuali seorang lelaki iaitu pemilik kepada salah sebuah rumah terbabit yang melecur di belakang badan ketika cuba memadamkan kebakaran," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Isteri mangsa Suhana Mos, 33, berkata, ketika kejadian suaminya, Mohamad Nazri Brahim, 29, cuba memadamkan api yang sedang marak di tingkat atas namun gagal setelah bahagian belakang badannya melecur dan telahpun dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapat rawatan lanjut.

Katanya, segala barang dalam rumah mereka musnah terbakar termasuk dokumen penting, duit simpanan dan barang kemas hasil titik peluh dia dan suami berniaga satey.

"Api bermula dengan cepat dari tingkat atas rumah saya yang terletak di tengah sebelum merebak ke rumah saudara saya di sebelah kanan dan kiri," katanya.

Seorang lagi mangsa yang juga Ketua Kaum Kampung Rantau Panjang Omar Lamu, 76, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah jiran dan hanya isterinya yang berada di rumah.

Katanya, rumah peninggalan bapanya itu musnah dalam kejadian yang tidak sampai setengah jam kerana api merebak dengan pantas.

Safuan Amit, 58, yang turut kehilangan rumahnya berkata ketika kejadian dia juga tidak berada di rumah hanya isteri dan tiga anaknya berada di rumah.

Safuan yang juga tukang membuat rumah berkata kerugian untuk ketiga-tiga rumah terbabit dianggarkan RM150,000. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain