suria

Pemandu Teksi Sakit Jantung Terbabas Langgar Kereta

IPOH: Orang ramai yang berada di persimpangan Jalan Sultan Iskandar/Jalan Raja Muda Aziz di sini hari ini gempar apabila sebuah teksi tiba-tiba terbabas melanggar tiga kereta dan terperosok ke dalam sebuah kedai.

Pemandu teksi berkenaan, seorang warga emas, Kok Ah Kow, 67, dipercayai diserang sakit jantung dan gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas.

Kok meninggal dunia sejurus selepas kejadian pada kira-kira 3 petang.

Jurucakap polis berkata, tiada penumpang menaiki teksi berkenaan dan tiga kereta yang dilanggar Kok hanya mengalami kerosakan kecil dan pemandu telah membuat aduan polis.

Seorang pekedai berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, pemandu teksi berkenaan sempat keluar dari keretanya selepas terbabas tetapi terus rebah.

Dalam kejadian lain, seorang pengawal keselamatan mati lemas apabila motosikal ditungganginya terhumban ke dalam sebuah kolam lombong tinggal yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari tempat kerjanya di Pusat Perindustrian Batu Gajah dekat sini kira-kira 11 pagi tadi.

Mangsa, M. Muniandy, 66, dikatakan gagal mengawal motosikalnya semasa melalui laluan selebar tiga meter yang terletak di antara dua kolam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, mangsa dipercayai terbabas jatuh ke dalam kolam selepas gagal mengawal motorsikalnya.

"Mayat Muniandy ditemui tersangkut kira-kira 11 meter di dasar lombong berkenaan, tidak jauh dari lokasi motosikalnya dijumpai," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain