suria

Hubungan Saya Dengan Musa Baik - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menafikan wujudnya pergeseran antara beliau dan Ketua Polis Negara Polis (KPN), Tan Sri Musa Hassan.

“Tak ada lah, mereka selalu tuduh macam-macam. Bagi saya tak ada masalah langsung. Saya hubungi KPN seperti biasa.

“Yang dikatakan jawab menjawab dalam media sebab ia ditanya. Esok lusa hari polis kita akan bersama tak ada masalah langsung,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Hishammuddin sekiranya hubungan beliau dengan Musa tidak rapat bagaimana KDN dan PDRM boleh menurunkan kadar jenayah seperti yang digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Tak mungkin kita dapat mengerakkan NKRA yang dirancang kerana ia merupakan tugas yang cukup berat.

“Kita semua golongan profesional dan bidang keselamatan merupakan tanggugjawab dan amanah yang melebihi kepentingan mana-mana individu,” ujarnya.

Beliau berkata, daripada hasil kerja yang dilakukan dapat membuktikan tuduhan dan desas-desus yang berlaku tidak benar sama sekali.

Baru-baru ini wujud spekulasi bahawa hubungan kedua-dua pihak tegang berikutan pendedahan Musa bahawa ada campurtangan pihak ketiga dalam PDRM.

Ahad lalu, Musa menyebut ada pihak memberi tekanan kepada pasukan polis, sama ada daripada pihak politik atau orang-orang tertentu.

Dalam laporan itu, beliau mendedahkan ada pihak cuba memberi tekanan, mungkin kerana kurang selesa dengan tindakan yang beliau arahkan.

Terdahulu semasa menyampaikan ucapan menjunjung kasih di atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika menjawab soalan tambahan Anthony Loke (DAP- Rasah) yang meminta penjelasan mengapa KPN dan beliau memilih meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing di media daripada berkomunikasi sesama mereka, Hishamuddin berkata:

"Hubungan kami ‘baik’ dan Musa membuat pendedahan itu di media kerana beliau ditanya isu berkenaan oleh wartawan."

Artikel Berikut

Artikel Lain