suria

Hishammuddin Anggap Dakwaan Hubungan Tegang Bersifat Nakal

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan dakwaan kononnya hubungan beliau dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai tegang adalah tidak berasas.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai "bersifat nakal", beliau berkata, ia merupakan cubaan golongan yang tidak bertanggungjawab untuk melaga-lagakan pemimpin negara.

"Sekiranya sesuatu itu diulang beberapa kali, dan jika tidak ditangani, akhirnya masyarakat di luar sana akan mempercayainya.

"Oleh kerana perkara itu telah dibangkitkan di Parlimen pagi tadi, hari ini kami bertiga hadir untuk membuktikan apa yang digembar-gemburkan oleh mereka itu tidak berasas langsung," katanya pada satu sidang akhbar yang turut dihadiri Musa dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Beliau mengulas dakwaan kononnya hubungannya dengan Musa tidak baik akibat kenyataan Musa pada Ahad lepas bahawa ada pihak 'ketiga' yang memberi tekanan kepada pasukan polis kebelakangan ini.

Hishammuddin berkata, beliau berasa sedih dengan dakwaan itu pada ketika maklumat balas daripada orang ramai terhadap pasukan polis pada masa ini adalah memberangsangkan kerana indeks jenayah telah menunjukkan penurunan.

Di lobi Parlimen kemudian, beliau turut menafikan tuduhan itu.

Musa pula berkata, isu itu timbul berikutan laporan akhbar berbahasa Cina, China Press, baru-baru ini kononnya beliau telah menyerahkan surat meletak jawatan.

"Apabila pihak media jumpa saya dan bertanya mengenainya, saya jawab ianya bukan daripada sumber rasmi.

"Jadi, jika tidak daripada sumber rasmi, maka ianya tidak betul. Saya beranggapan bahawa jika perkara ini boleh dijadikan bahan spekulasi dan ianya datang dari sumber bawah tanah, maka pasukan polis akan jadi kelam kabut.

"Maka, saya memetik Seksyen 4 Akta Polis, bahawa pentadbiran polis adalah di bawah kuasa dan kawalan Ketua Polis Negara dan juga pegawai-pegawainya.

"Jadi, janganlah ada pihak ketiga yang cuba membuat spekulasi mengenai perkara ini. Itu yang saya jelaskan," kata Musa. Katanya hubungan beliau dengan Hishammuddin adalah baik. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain