suria

PR Cabar Kerajaan perjelas siapa APCO

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) mencabar kerajaan untuk membatalkan perlantikan Syarikat APCO Worldwide dalam urusan komunikasi negara, kerana didakwa ia bertentangan dengan dasar luar negara.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyenaraikan segala urusan kerajasama di antara kerajaan dengan APCO termasuk jumlah bayaran dan tugasan yang diberikan kepada APCO.

Menurutnya, jawapan kerajaan menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz bahawa kerajaan telah melantik APCO dalam mengendalikan urusan komunikasi negara adalah jelas penglibatan langsung syarikat itu.

"Saya minta kerajaan perjelaskan siapa APCO, berapa dia dibayar, apa peranan dalam negara ini dalam bidang komunikasi, kesihatan, pendidikan, mauklumat dan kesemuanya. "Sama ada ini berkaitan dengan keselamatan negara ataupun tidak, kerana ini mempunyai kenyataan dengan jawapan saya nanti," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, beliau akan memberi jawapan mengenai kenyataannya sebelum ini yang mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel dalam masa terdekat.

"Kenyataan Perdana Menteri ini tidak menafikan penglibatan APCO secara menyeluruh dalam komunikasi di negara ini, isunya bukan 1Malaysia sama seperi 1Israel tetapi isu tindakan kerajaan bersekongkol dengan Israel.

"Saya akan memberi penjelasan mengenai perkara ini dengan hujah saya nanti termasuk memberi kenyataan tambahan mengenai siapa APCO itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf berkata, perlantikan APCO sebagai perunding komunikasi negara bertentangan dengan dasar luar negara yang jelas mengutuk tindakan Israel yang menindas rakyat Palestin.

Menurutnya, APCO yang merupakan sebuah firma perunding antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mempunyai majoriti pemiliknya adalah dari individu berpengarah dalam pentadbiran Israel.

"Jawapan kerajaan adalah, kerajaan tidak melantik mana-mana syarikat luar atau dalam negara dalam menguruskan gagasan 1Malaysia secara khusus, kalau tidak khusus apa?

"Soalannya mudah adakah kerajaan mengambil APCO untuk menguruskan 1Malaysia? dan bukanya soalan mempromosikan 1Malaysia secara khusus atau tidak," katanya.

Beliau berkata, jawapan kedua yang diberikan oleh kerajaan pula tidak menafikan penglibatan APCO oleh kerajaan iaitu APCO hanya dilantik untuk melaksanakan urusan komunikasi secara menyeluruh.

"Saya mahu tanya apakah komunikasi menyeluruh yang dilakukan oleh kerajaan setelah (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kalau bukan gagasan 1Malaysia.

"Sekiranya mahu menyangkal tindakan Ketua Pembangkang mengenai 1Malaysia dengan 1Israel, kita perlu lihat bahawa tindakan tersebut sebagai langkah untuk menyelamatkan negara," katanya.

Anwar membuat dakwaan itu ketika beliau membahaskan usul menjunjung kasih titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong semasa perasmian persidangan Dewan Rakyat Isnin lepas.

Artikel Berikut

Artikel Lain