suria

Kereta Terjunam Dalam Sungai, Tiga Wanita Bersaudara Nyaris Maut

KUALA LUMPUR: Tiga wanita bersaudara terselamat apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu terjunam ke dalam sungai di Kilometer 8, Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) berhampiran susur ke bulatan Batu Caves di sini, pagi semalam.

Jurucakap Polis Trafik Jalan Bandar berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8 pagi apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki dua adik-beradik bersama seorang sepupu itu hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang jalan.

"Ketika kejadian jalan itu licin akibat hujan, setibanya di tempat kejadian kereta itu hilang kawalan dan rempuh besi penghadang jalan. Ia kemudian terjunam kira-kira 10 meter ke arah Sungai Batu. Mereka bernasib baik sebab kereta itu tersangkut di atas tembok perangkap sampah," katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dan orang ramai, dengan menggunakan sebuah bot bagi membawa mereka ke tebing sungai.

Ketiga-tiga mereka mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain