suria

Tiga Warga Emas Maut Kereta Bertembung Kereta

KUANTAN: Tiga warga emas maut dalam satu kemalangan yang melibatkan dua kereta di Kilometer (km) 323 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Benta pada 9 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Raub Superintenden Wan Mohd Shamsudin Wan Osman berkata mangsa berkenaan, Hasimah Ibrahim, 65, Salmah Abdul Hamid, 50, dan Hadijah Arsad, 68, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia menaiki kereta Charade lama bersama tiga lagi rakan termasuk pemandu dalam perjalanan dari arah Raub ke Kuala Lipis untuk menghadiri majlis tahlil," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan mangsa cuba membelok ke kanan untuk memasuki lorong kecil sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Persona yang dinaiki tiga orang datang dari arah bertentangan.

Katanya pertembungan itu menyebabkan ketiga-tiga penumpang itu tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala pemandu kereta itu yang mengalami cedera parah dibawa ke Hospital Kuala Lipis dan dua lagi penumpang yang turut cedera parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

Sementara itu katanya pemandu dan penumpang kereta Persona hanya mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke klinik Benta.

Katanya siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1948. - BERNAMA

Artikel Lain