suria

Tiga Sekeluarga Maut Kereta Bertembung Lori Dekat Gua Musang

GUA MUSANG: Tiga sekeluarga maut manakala empat lagi cedera apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan lori di Kilometer 51 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat sini hari ini.

Dalam kejadian 6.15 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah pemandu kereta Mohd Amli Hussein, 43, isterinya Noora Mohd Zawi, 40, dan seorang anak mereka, Hakimi Akhmal, 12, manakala yang cedera adalah anak-anak Mohd Amli dan Noora, Sofi, 7, dan Safiq, 5, serta dua anak saudara Mohd Amli, Nurul Fazira Mohamad, 16, dan adiknya Amrul Akhmal, 14.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata kejadian itu berlaku semasa keluarga terbabit dalam perjalanan dari Salor, Kota Bharu untuk pulang ke rumah mereka di Kajang, Selangor.

"Semasa perjalanan itu lori terbabit dikatakan cuba mengelak daripada sebuah kereta lain yang memotong tetapi bertembung dengan kereta itu hingga lori terbabit terbabas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya kereta dinaiki keluarga terbabit terbabas ke dalam longkang sebelah kiri menyebabkan tiga mangsa yang meninggal dunia tersepit dalam kenderaan yang remuk itu.

"Sepasukan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang diketuai Pegawai Operasinya Yahaya Abdullah mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa," katanya.

Beliau berkata tiga yang maut di tempat kejadian itu kerana cedera parah di kepala serta badan, dan mayat mereka dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Empat yang cedera itu dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk menerima rawatan.

Saiful Bahari berkata pemandu lori berkenaan selamat tetapi identitinya belum diperolehi. - BERNAMA

Artikel Lain