suria

Tiga Sekeluarga Maut Dalam Kemalangan Kereta

KUALA PILAH: Tiga orang dalam satu keluarga maut selepas Proton Saga yang mereka naiki bertembung dengan dengan sebuah kereta lain dalam satu kemalangan di Kilometer 17, Jalan Seremban Kuala Pilah pukul 9 malam kelmarin.

Menurut jurucakap polis ketika dihubungi, terdapat enam orang sekeluarga dalam Proton Saga itu manakala, kereta satu lagi yang merupakan Proton Iswara mengandungi tiga lelaki.

"Mereka yang terbunuh merupakan pemandu, Rosli Hassan, 48, isteri, Roziah Shamsudin, 42, dan cucu mereka, Mohamad Danish Mohd Zaibi, 5 bulan," katanya.

Kereta mereka yang menuju ke arah Seremban bertembung dengan Proton Iswara yang sedang menuruni bukit dari arah pusat bandar.

Roziah dan cucunya meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital.

Tiga lagi anggota keluarga itu mengalami kecederaan termasuk anak mereka, Rozailin Rosli, 21, Shamimi Rosli, 11, dan menantu mereka Saidatul Akma, 18, katanya.

Shamimi dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, tiga lelaki dalam kereta Proton Iswara turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, katanya.

Kemalangan yang berlaku hanya beberapa meter sebelum memasuki laluan baru Bukit Putus itu menyebabkan kesesakan lalulintas sepanjang dua kilometer dari kedua-dua arah. - BERNAMA

Artikel Lain