suria

Tangguh GST Tidak Bermakna Kerajaan 'Kurang Kesungguhan Politik' - Husni

IPOH: Keputusan kerajaan menangguhkan pembentangan Rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang dijadual untuk dibentangkan buat bacaan kali kedua di Parlimen pada sesi bermula Isnin lepas, tidak bermakna bahawa kerajaan 'kurang kesungguhan politik' untuk melaksanakannya.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebaliknya menegaskan bahawa 'kesungguhan politik' kerajaan ketika ini adalah mendahulukan kepentingan rakyat dengan memberi penerangan secara mendalam sebelum kerajaan melaksanakan sistem GST bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diamalkan ketika ini.

"Maka daripada segi kepentingan rakyat, kerajaan percaya rakyat perlu diberikan penerangan mengenai GST. Mereka juga diberi peluang untuk memberikan input masing-masing sekiranya ada, supaya akhirnya sistem GST yang dilaksanakan kelak menjadi sistem yang sama-sama dimahukan oleh rakyat dan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah Mustafa Ismail, 80, seorang pesara Telekom Malaysia di Taman Meru di sini hari ini.

Beliau berkata rakyat perlu diberikan penerangan kerana ketika ini terdapat pelbagai maklumat kurang tepat yang telah disebarkan kepada mereka mengenai pelaksanaan sistem GST yang sebenarnya bertentangan dengan hasrat sebenar kerajaan untuk melaksanakan sistem tersebut.

Anggota Parlimen Tambun itu juga menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa penangguhan pembentangan GST itu disebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) bimbang 'dihukum' oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-13 jika melaksanakan sistem GST berkenaan.

"Dalam pilihan raya umum, banyak faktor yang menentukan menang atau kalah. Faktor kelemahan parti pembangkang sekarang pun memperkukuhkan BN. Faktor Anwar Ibrahim yang sekarang ini dikenali oleh rakyat siapa dia sebenarnya, adalah faktor juga.

"Jadi kita tidak boleh kata disebabkan GST, BN akan kalah. Lagi pun pilihan raya umum hanya pada 2012 atau 2013, pada masa itu mungkin faktor lain yang akan jadi penentunya," katanya.

Pada 13 Mac lepas, Ahmad Husni berkata GST tidak akan dibentangkan bagi bacaan kedua di Parlimen kerana kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk mengumpul maklum balas daripada rakyat.

Katanya pada masa sekarang pihaknya masih kekurangan input daripada rakyat yang dianggap penting sebelum satu-satu dasar itu dilaksanakan kerajaan.

Sistem GST sebanyak empat peratus bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan antara lima dan 10 peratus ketika ini yang dicadang dikuatkuasakan pada suku ketiga tahun depan akan meningkatkan keberkesanan kutipan hasil negara.

Rang undang-undang itu telah dibentang untuk bacaan kali pertama pada sidang Parlimen Disember lepas. -BERNAMA

Artikel Lain