suria

Rumah Kediaman Ketua Polis Penampang Terbakar

KOTA KINABALU: Rumah kediaman dua tingkat Ketua Polis Daerah Penampang DSP Madang Usat di Taman Orkid, Jalan Hospital Queen Elizabeth, dekat sini, terbakar tengah hari ini.

Isteri Madang, Monica Abeng, 48, berkata sebelum kejadian, beliau dan anak perempuannya yang berusia 22 tahun menghantar seorang lagi anak perempuannya yang bersekolah di tingkatan empat untuk mengikuti kelas tuisyen.

"Apabila kami balik kira-kira 12.30 tengah hari, anak saya terus naik ke bahagian atas rumah untuk memasang pendingin hawa.

"Selepas dua minit, kami tercium bau terbakar dan kami terus menghubungi bomba.

"Bagaimanapun api cepat merebak dan beberapa barangan di tingkat atas tidak dapat diselamatkan termasuk baju, dokumen dan dua komputer riba," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, jurucakap bomba Sembulan, dekat sini berkata dua jentera bomba dengan 14 anggota dikejarkan ke rumah itu selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira 12.55 tengah hari. - BERNAMA

Artikel Lain