suria

Omar Meringkuk Dalam Penjara Laos Tanpa Didakwa

ALOR SETAR: Omar Atan, seorang peniaga, dipercayai menjadi mangsa penganiayaan apabila meringkuk dalam penjara di Laos selama hampir 10 bulan tanpa mengetahui sebabnya.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata penahanan Omar, 59, di Penjara Punthong, Vientiane, sejak 13 Mei tahun lalu adalah meragukan kerana belum ada pendakwaan terhadapnya.

Menurutnya Omar telah dibebaskan sementara selepas isterinya meninggal dunia tiga hari lalu dan pulang ke tanah air semalam.

"Omar sendiri tidak diberitahu menagapa dia ditahan," kata Muhd Khairun ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, dekat sini, hari ini.

Katanya, Omar pergi ke Laos atas dasar menolong kawan dengan menjadi jurubahasa, dipercayai untuk urusan pengambilan pekerja asing, kerana dia fasih berbahasa Thailand tetapi ditahan ketika hendak pulang selepas berada di negara itu selama tiga hari.

"Penahanannya itu sangat meragukan kerana dia telah dibenarkan melepasi pintu keluar Laos dan pasportnya juga telah dicop, namun sejurus selepas itu dia ditahan semula oleh badan berkuasa negara itu," katanya.

Muhd Khairun berkata, pembebasan sementara Omar selama 10 hari adalah kebenaran khas daripada Perdana Menteri Laos dan ia pertama kali dalam sejarah tahanan diberi pembebasan seumpama itu.

"Pihak Pemuda UMNO akan memberi pembelaan yang terbaik dalam kes ini supaya dapat dibuktikan kepada kerajaan Laos bahawa Omar tidak bersalah," katanya. Beliau berkata, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk mmengadakan perbincangan dengan kerajaan Laos supaya Omar diberi pembebasan sepenuhnya.

Sementara itu, Omar yang baru sampai dari Kuala Lumpur bersama dengan anak-anaknya, bersyukur kerana hasratnya untuk menziarahi kubur arwah isterinya menjadi kenyataan.

"Saya diberitahu tentang kematian isteri tiga hari lepas oleh Wisma Putra dan sangat terkilan kerana tidak sempat berjumpa dan mendengar suaranya sejak ditahan 10 bulan lalu," katanya sambil menitiskan air mata.

Omar berkata, perkara pertama yang akan dibuatnya apabila sampai di Perlis nanti adalah menziarahi pusara isteri kesayangannya.

"Saya harap Wisma Putra dapat membantu agar pihak yang menyebabkan saya ditahan dapat dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, masa 10 hari yang diberikan itu akan digunakan sepenuhnya untuk melepaskan rindu bersama anak-anaknya. -BERNAMA

Artikel Lain