suria

Dua Beradik Warga Indonesia Maut Motosikal Kemalangan

KUALA LUMPUR: Dua beradik warganegara Indonesia maut apabila motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kancil dalam satu kemalangan di Kampung Batu Belah, Meru dekat Klang pagi tadi.

Ketua Bahagian Keselamatan Awam dan Trafik Selangor Superintenden Che Hussin Omar berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, penunggang seorang lelaki berusia 15 tahun dan kakaknya, 17 tahun, dipercayai dalam perjalanan ke gerai ibu mereka di kawasan berhampiran.

"Motosikal itu cuba memotong sebuah kereta di hadapannya dan bertembung dengan sebuah lagi kereta (Kancil) dari arah bertentangan.

"Penunggang itu gagal mengelak lalu merempuh kereta terbabit dan kemudian tercampak di bawah sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan berkenaan manakala kakaknya tercampak di tengah jalan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Che Hussin berkata ekoran rempuhan itu, kedua-dua mereka cedera parah di kepala dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia sejam kemudian.

Katanya siasatan awal polis mendapati salah seorang daripada mereka itu menunggang tanpa memakai topi keledar dan mereka tinggal di negara ini dengan status penduduk tetap (PR). - BERNAMA

Artikel Lain