suria

Tun M Rasmi Persidangan Pertama Perkasa

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), pada 27 Mac ini.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dalam satu kenyataan kepada media mengesahkan perkara itu hari ini.

"Tun akan merasmikan persidangan itu dan beliau akan diberi sambutan meriah mengikut istiadat kepahlawanan Melayu," katanya.

Persidangan yang akan berlangsung di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu sebelum ini mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk merasmikan persidangan itu.

Bagaimanapun, baginda telah dinasihati supaya tidak berangkat ke majlis tersebut kerana dibimbangi kehadirannya akan disalahtafsirkan dan disalah anggap oleh pihak-pihak tertentu istana terlibat secara tidak langsung dengan politik.

Kelmarin, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hasan Syed Ali mengecam laporan sebuah akhbar tabloid yang disifatkan mempunyai niat jahat apabila cuba memburuk-burukkan pertubuhan itu dengan menggunakan nama Sultan Selangor.

Katanya, laporan itu yang seolah-olah menunjukkan bahawa Sultan Selangor tidak berkenan merasmikan Mesyuarat Agung pertama Perkasa adalah tidak benar.

Sebaliknya, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, sememangnya berdasarkan perancangan asal Sultan Selangor berkenan untuk berangkat merasmikan mesyuarat agung berkenaan.

Sementara itu, Ibrahim memberitahu seramai 8,000 ahli telah mengesahkan kehadiran mereka ke mesyuarat yang julung kali diadakan itu.

"Selain 8,000 akan hadir, 2,000 tetamu akan turut serta pada persidangan pertama itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan lebih 100,000 permohonan dari seluruh negara telah diterima untuk menjadi ahli Perkasa.

"Perkembangan itu adalah sangat memberangsangkan," katanya.

Dalam pada itu, pada persidangan tersebut, beliau memberitahu empat usul utama akan dibentangkan iaitu isu agama, politik, pelajaran dan keselamatan.

Ibrahim turut menasihatkan semua pihak supaya datang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di PWTC.

"Persidangan akan bermula jam 9.30 pagi, oleh kerana kehadiran 10,000 ahli, semua pihak dinasihatkan supaya datang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan," katanya,

Artikel Lain