suria

Polis Tahan Dua Lelaki Dipercayai Terlibat Samun Bersenjata

JOHOR BAHARU: Polis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes samun bersenjata apabila seorang daripadanya cedera terkena tembakan selepas merempuh kereta peronda polis di Taman Daya, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam Deputi Superintenden (DSP) Saifi Abdul Hamid berkata kedua-dua suspek yang menaiki kereta Proton Waja itu ditahan kira-kira pukul 6 pagi selepas dikejar oleh anggota peronda polis selama sejam setengah dari kawasan Pandan hingga ke Taman Daya.

"Kedua-dua mereka terdahulu dilihat mencurigakan pada pukul 4.20 pagi oleh sebuah kereta peronda polis di hadapan sebuah pasar raya di Pandan sebelum bertindak merempuh kereta peronda berkenaan apabila diarah berhenti bagi pemeriksaan," katanya kepada pemberita.

Saifi berkata kedua-duanya sekali lagi merempuh kereta peronda yang sama di Taman Mount Austin apabila dikejar sehingga ke kawasan berkenaan yang menyebabkan kereta peronda itu mengalami kerosakan.

Beliau berkata bertindak atas kejadian itu, kereta peronda terbabit meminta bantuan pusat kawalan lalu lima kereta peronda lain kemudian mengejar kedua-dua suspek berkenaan sehingga ke kawasan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Taman Daya.

"Kedua-dua suspek merempuh tiga daripada lima kereta peronda ketika cuba membuat pusingan U apabila tiba di jalan mati. Bagi mempertahankan diri, anggota kereta peronda melepaskan beberapa das tembakan yang mengakibatkan kecederaan di paha kanan suspek yang memandu kereta manakala rakannya cedera ringan di kepala akibat pelanggaran," katanya.

Saifi berkata pemeriksaan ke atas Proton Waja itu menemui beberapa senjata termasuk pisau rambo, parang, pisau lipat dan dua buah beg yang mengandungi perkakasan pecah rumah.

Katanya suspek yang terkena tembakan itu mempunyai 10 rekod jenayah termasuk samun, curi kenderaan dan dikehendaki polis berhubung kes bunuh serta dadah manakala rakannya mempunyai dua rekod jenayah berhubung kes dadah.

Kereta Proton Waja itu merupakan kereta curi dan kedua-dua lelaki itu turut dipercayai menyamun dua buah laptop dari sebuah kedai komputer di Taman Johor Jaya, 9 Mac lepas, katanya.

Kedua-duanya yang berumur antara 35 dan 40 tahun itu dirawat di Hospital Sultan Ismail dan akan disiasat mengikut Seksyen 307 serta 395/397 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain