suria

Mayat Dua Remaja Lemas Ditemui

BESUT: Dua remaja yang dikhuatiri lemas dalam dua kejadian berasingan di Bukit Kluang dan Beting Lintang di sini semalam, ditemui mati lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata mayat pertama Muhammad Ilyas Razali, 13, yang dilaporkan dipukul ombak besar ketika sedang mencari remis bersama ibu dan sepupunya di pesisiran di pantai Beting Lintang, semalam ditemui kira-kira pukul 12.50 tengahari tadi.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah itu ditemui terdampar di Pantai Bukit Tendong oleh pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada polis, rela, dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) kira-kira lima kilometer daripada tempat mangsa dilaporkan hilang.

"Manakala mayat seorang lagi remaja Nor Helmi Zuki, 14, pelajar SMK Sri Aman Pasir Puteh, Kelantan ditemui di Pantai Air Tawar kira-kira pukul 1.49 petang selepas hilang dekat pantai Bukit Keluang semalam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mangsa sebelum itu bersama enam lagi rakannya dari Kelantan dilaporkan datang ke pantai berkenaan kira-kira pukul 5.15 petang untuk mandi-manda sebelum dihanyutkan ombak kuat.

Seorang lagi rakan mangsa Norhisham Mohd Yaakub, 15, dari Pasir Puteh turut lemas dalam kejadian itu, bagaimanapun mayatnya telahpun ditemui petang semalam.

Kamaruddin berkata mayat kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk dibedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain