suria

Jakim Mohon Maaf Kesilapan Segmen Gurindam Enam Pemimpin

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) hari ini memohon maaf kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sekeluarga dan rakyat Malaysia di atas kesilapan ketika segmen Gurindam Enam Pemimpin dalam program siaran langsung 'Adik-Adikku' di TV1 semalam.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata ketika slot itu yang bertujuan mengenang jasa enam Perdana Menteri Malaysia, penyanyi solo gurindam telah tertinggal menyebut nama Allahyarham Tun Hussein Onn, Perdana Menteri ketiga.

"Untuk makluman rakyat, semuanya telah diatur dengan baik termasuk ketika raptai, namun penyanyi tersebut tertinggal menyebut nama pemimpin itu tanpa niat prejudis atau disengajakan.

"Jakim telah merancang dengan teliti slot tersebut bagi mengenang dan menyanjung sumbangan besar kesemua Perdana Menteri yang telah membangunkan negara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Program Adik-Adikku merupakan program realiti kerjasama terbitan Jakim dan Radio Televisyen Malaysia bertujuan memupuk bakat kanak-kanak dalam berpidato, bertarannum, dan bernasyid. - BERNAMA

Artikel Lain