suria

Tekong Larikan Diri Apabila Kereta Bawa Pendatang Terbabas

PADANG BESAR: Seorang tekong darat lari meninggalkan lapan pendatang asing tanpa izin apabila kereta yang dipandunya terbabas di kawasan ladang tebu Chuping dekat sini hari ini.

Komander Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) kawasan Chuping ASP Md Fawzie Aris berkata kejadian berlaku pukul 5.30 pagi tadi apabila kereta jenis Proton Iswara yang dipandu lelaki itu terbabas ke dalam longkang.

Katanya kesemua pendatang itu termasuk seorang wanita tidak cedera dan UPP menahan mereka yang berumur antara empat dan 30 tahun itu untuk siasatan lanjut.

Md Fawzie berkata sebelum itu pihaknya yang melakukan rondaan di kawasan ladang tebu itu terserempak dengan kenderaan itu yang dalam keadaan mencurigakan lalu menahannya.

Namun pemandu itu terus memecut kenderaan itu sehingga terbabas ke dalam longkang dan bagi mengelakkan ditahan, pemandu itu melarikan diri dalam kegelapan.

Katanya UPP menemui lapan pendatang asing tanpa izin itu dalam kenderaan yang terbabas itu dan menahan mereka mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen.

Mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain