suria

Rumah Setinggan Terbakar, Dua Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

KUALA LUMPUR: Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah setinggan mereka hangus dalam kebakaran di No 589 Jalan Air Tawar Off Jalan Air Panas, Setapak, petang tadi.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Setapak, Mohd Yunus Mahmud berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2 petang, dan pihaknya hanya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 3.32 petang.

Semasa kejadian penghuni kedua rumah itu tiada di rumah dan kebakaran di sedari oleh jiran mereka yang terus menelefon bomba, katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

"Tiga jentera iaitu dari Balai Bomba Setapak, Balai Bomba Chow Kit dan Balai Bomba Wangsa Maju yang disertai 25 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian dan tiba di sana kira-kira pukul 3.40 petang," katanya.

Beliau berkata pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dalam masa setengah jam.

Sementara itu, dua buah rumah bersebelahan kedua-dua buah rumah itu turut rosak kerana dinding rumah terbabit turut terbakar akibat terkena serpihan api kebakaran, katanya.

Menurut saksi kejadian, S.Kasturi, 30, yang merupakan jiran sebelah rumah yang terbakar itu, pada masa kejadian beliau sedang tidur di sebuah bilik di rumahnya.

"Saya terjaga apabila terhidu bau asap, bila saya keluar tengok api dah marak dan saya terus keluar (dari rumah) untuk menyelamatkan diri," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain