suria

Rumah Dibakar, Warga Emas Tinggal Sehelai Sepinggang

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya di Jalan Lapangan Terbang Lama, berdekatan Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi, di sini, terbakar hari ini.

Kejadian berlaku ketika mangsa Ngo Man Mooi, 67, bekas guru tadika, yang tinggal seorang di rumah itu, baru pulang selepas membuat laporan polis berhubung ugutan membakar rumahnya oleh dua individu pada kira-kira pukul 6.15 petang tadi.

"Selepas didatangi dua lelaki yang membawa minyak tanah dan ugut mahu bakar rumah makcik semalam, makcik buat laporan polis pada pukul 4 petang tadi. Apabila balik rumah, makcik bau minyak tanah dan petrol...ketika hendak hubungi polis, makcik nampak ada lelaki cuba hendak bakar rumah dari bahagian luar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata terdapat jiran yang melihat dua lelaki bertopi keledar membakar rumahnya.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata pihaknya telah menerima panggilan kira-kira pukul 5.30 petang berhubung kebakaran itu dan kereta peronda bergegas ke rumah tersebut.

"Ketika sampai ke rumah itu anggota kami nampak asap berkepul-kepul dan terus hubungi bomba. Kes ini kami akan siasat dan minta keterangan dari bomba," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pegawai Bomba Kanan II Md Saru Jumali berkata bomba menerima panggilan kira-kira 7.45 malam dan segera mengejarkan dua buah jentera bersama 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dan Pudu.

Md Saru berkata kebakaran bermula dari pintu masuk rumahnya dan kerugian dianggarkan berjumlah kira-kira RM40,000.

Beliau berkata api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 8.15 malam tadi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain