suria

Permohonan Semakan Kehakiman Oleh Penduduk Bukit Gasing Dibenarkan

PUTRAJAYA: Selepas dua tahun, akhirnya penduduk Bukit Gasing dibenarkan mencabar perintah pembangunan yang dikeluarkan oleh Datuk Kuala Lumpur untuk meluluskan sebuah projek pembangunan di kawasan itu.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada 108 penduduk Bukit Gasing untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar perintah itu.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri James Foong Cheng Yuen dan Datuk Seri Md Raus Sharif telah menolak dengan kos permohonan yang dikemukakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju, Gasing Meridian Sdn Bhd (GMSB), untuk mendapatkan kebenaran merayu.

DBKL dan GMSB memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 April tahun lepas dalam membenarkan penduduk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar perintah Datuk Bandar itu.

Mereka memohon kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka dengan majoriti 2-1 pada 20 November tahun lepas.

Dalam perintah pembangunan oleh Datuk Bandar bertarikh 2 Oktober 2007, GMSB dibenarkan menjalankan kerja-kerja pembersihan tanah dan pembahagian kawasan di tanah brkenaan.

GMSB, adalah pemaju pembangunan 'Santuary Ridge' Bandaraya Kuala Lumpur iaitu satu projek membina 68 unit banglo di kawasan seluas 15.5 hektar di Bukit Gasing.

Korum hari ini berpendapat bahawa persoalan undang-undang yang dirangka oleh DBKL dan GMSB tidak baru atau memberi kelebihan kepada orang awam dan oleh itu tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman.

Mahkamah juga mengarahkan DBKL dan GMSB masing-masing membayar kos litigasi sebanyak RM20,000.

Pada Januari 2008, penduduk berkenaan telah memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman dengan mendakwa Datuk Bandar telah gagal mengambil kira hak mereka untuk mendapatkan notis dan diberi peluang menyuarakan pendapat mereka dalam proses membuat keputusan perancangan.

Mereka mendakwa Datuk Bandar telah bertindak bertentangan dengan dasar dan niat dalam Akta Wilayah Persekutuan (Perancangan) 1982.

Sementara itu, ahli jawatankuasa bertindak bersama Bukit Gasing, Victor Oorjitham berkata mahkamah akan mendapat peluang mendengar permohonan substantif mengenai bantahan penduduk terhadap projek itu.

"Kami berjuang dalam dan di luar mahkamah lebih dua tahun. Kini kami menanti untuk pendengaran kes di Mahkamah Tinggi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain