suria

Pelacuran: Polis Tahan 21 Pelayan Restoran Warga Asing

KUALA LUMPUR: Polis menahan 21 pelayan warga asing dalam satu operasi membanteras pelacuran, Ops Noda di sebuah restoran di Jalan Inai, dekat Bukit Bintang, semalam.

Pegawai Turus Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) DSP Razali Abu Samah berkata turut ditahan ialah dua warga tempatan, masing-masing seorang wanita dan seorang lelaki, yang dipercayai menjadi ibu ayam dan penjaga premis berkenaan.

Kesemua mereka yang berusia 20 hingga 26 tahun ditahan dalam serbuan pada kira-kira pukul 10 malam.

"Wanita warga asing yang ditahan terdiri daripada 15 warga Vietnam, empat dari China dan dua dari Kemboja," katanya kepada pemberita selepas serbuan tersebut malam tadi.

Beliau berkata operasi itu dilakukan hasil soal siasat tangkapan di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak baru-baru ini.

"Modus operandi yang digunakan di mana pelanggan datang dan ibu ayam tunggu di luar seterusnya mengagihkan wanita-wanita itu untuk duduk bersama pelanggan.

"Kesemua mereka ada pasport warga asing dan ada juga salah seorang daripadanya mengemukakan surat nikah, bermakna dia sudah bernikah dengan warga tempatan tapi pihak kami tangkap juga dan akan bawa ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk kita siasat adakah sah surat itu," katanya.

Razali yang mengetuai operasi itu berkata restoran itu tidak mempunyai lesen hiburan tetapi menjalankan aktiviti karaoke.

"Ada tiga buah bilik karaoke...jadi kita rampas set karaoke di bilik itu dan kita saman di bawah langgar syarat lesen kerana mereka tidak dibenarkan menjalankan kegiatan karaoke," katanya. Menurutnya kesemua mereka dibawa ke IPPKL untuk disoal siasat. Sementara itu, serbuan kedua dilakukan di sebuah pusat hiburan di Maluri, Cheras kira-kira pukul 12 malam.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan berikutan premis tersebut mempunyai lesen dan para pekerjanya mempunyai permit.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain