suria

Najib Rasmi Sambutan Ulang Tahun KKLW Esok

KUALA LIPIS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan sambutan ulang tahun Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ke-50 di Dataran Lipis di sini, pagi esok.

Sambutan ulang tahun itu bakal mencetus nostalgia apabila Perdana Menteri pulang ke tempat kelahirannya di Bukit Bius di sini.

Pada majlis itu, Najib juga akan melancarkan buku 'Coffee Table Book':Membangun Luar Bandar Satu Komitmen Berterusan yang menceritakan 50 tahun pembangunan luar bandar.

Beliau turut melancarkan satu jenama baru KKLW iaitu 'Kampungku' menggantikan jenama Gerak Desa Wawasan bagi mendekatkan lagi kementerian itu dengan masyarakat desa.

Antara program menarik yang disediakan sempena sambutan tersebut yang bermula hari ini hingga Ahad ini adalah gerai-gerai pameran jabatan dan agensi di bawah KKLW, pameran dan gerai usahawan produk luar bandar.

Pameran dan Seminar Pendidikan MARA pula akan diadakan esok hingga Ahad yang melibatkan Institusi Pendidikan MARA, pendidikan dan latihan kemahiran serta khidmat runding cara pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan, permainan tradisional, pertandingan mewarna, pertandingan pantun, demonstrasi masakan, tenunan, anyaman, seramik dan pelbagai aktiviti lain yang sesuai dengan semua peringkat umur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain