suria

Najib Garis Empat Elemen Bagi Malaysia Jadi Hab Pendidikan Serantau

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggariskan empat elemen bagi Malaysia muncul sebagai hab pendidikan serantau, dengan pertamanya komitmen mantap kepada kecemerlangan akademik dan program berdasarkan merit.

Perdana Menteri berkata elemen kedua membabitkan inklusi sosial di mana golongan miskin dan yang terpinggir diberi peluang untuk berjaya.

"Mereka tidak boleh ketinggalan dalam mengejar arus pembangunan di peringkat tertinggi," katanya semasa berucap melancarkan Yayasan Jeffrey Cheah di Bandar Sunway di sini malam semalam.

Penaung Diraja Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut hadir pada majlis itu.

Elemen ketiga, menurut Najib, adalah memantapkan lagi kaedah pendidikan negara dengan mengguna pakai amalan terbaik antarabangsa.

Elemen terakhir adalah memupuk kumpulan graduan cemerlang dalam pemikiran strategik dan kreativiti.

"Semua elemen ini adalah kritikal jika Malaysia ingin bersaing dengan negara terbaik di persada antarabangsa," kata Najib.

Selain itu, katanya kemahiran berkomunikasi dan penguasaan bahasa lain termasuk Inggeris adalah penting.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan sektor swasta adalah mustahak bagi Malaysia mencapai wawasan menjadi hab pendidikan bagi rantau ini

"Mengiktiraf sektor pendidikan sebagai kunci dan jentera pertumbuhan dan transformasi negara, maka kami sedang menimbang insentif tambahan bagi menyokong sektor itu bagi memastikan sistem pendidikan memenuhi keperluan semasa dan masa depan," katanya.

Najib menjelaskan Model Ekonomi Baru akan mementingkan usaha memupuk kreativiti dan inovasi dan dalam hubungan ini, adalah penting bagi universiti awam dan tempatan menumpukan kepada aplikasi penyelidikan dan inovasi serta membangunkan kemahiran berfikir.

Dalam ucapannya juga, Najib meminta semua sekolah dan institusi pengajian tinggi supaya memperkukuhkan falsafah gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

"1Malaysia merupakan satu cara kehidupan dan mencerminkan komitmen tidak berbelah bagi oleh kerajaan dalam membentuk satu Malaysia kepada Semua Rakyat Malaysia - tempat yang menghargai dan menilai penerimaan dan menyambut kepelbagaian," jelasnya.

Pada majlis itu, pengasas dan pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah menyumbang RM20 juta kepada yayasan tersebut.

Najib berkata penubuhan yayasan itu merupakan contoh cemerlang badan korporat dan nilai bermurah hati yang masih segar di Malaysia.

"Saya harap usaha ini menjadi contoh kepada pengusaha dan tokoh perniagaan lain untuk mengikutinya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain