suria

Majistret Perintah Pengarah Penjara Hadir Beri Penjelasan

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan Pengarah Penjara Sungai Buloh memberi penjelasan mengenai dakwaan kelindan lori M. Rajamorgan, yang didakwa membunuh kanak-kanak berusia 18 bulan, dipukul oleh suspek lain di penjara itu.

Majistret Ho Kwong Chin membenarkan permohonan itu selepas peguam bela tertuduh, N.Surendren mendakwa anak guamnya itu telah dipukul oleh tahanan lain di penjara itu sepanjang tempoh remannya sejak 4 Mac lalu.

Ho menetapkan 6 April ini untuk Pengarah Penjara Sungai Buloh hadir ke mahkamah untuk memberi penjelasan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata mahkamah mengambil berat dan serius perkara ini kerana mahkamah perlu memberi keadilan kepada individu seperti dalam kes ini.

Terdahulu, Surendren memohon agar mahkamah mengenakan tindakan menghina mahkamah ke atas pengarah itu jika beliau gagal menghadirkan atau memberi tunjuk sebab mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun, peguambela itu tidak menyatakan siapa pengarah itu.

"Sebelum ini anak guam saya memberitahu dirinya dipukul oleh polis yang mengawasinya sepanjang tempoh tahanan reman itu dan sekarang dia mendakwa pula dipukul oleh suspek lain yang turut berada di penjara yang sama.

"Saya mohon untuk mahkamah mengambil perkara ini dengan serius kerana penjara itu sudah penuh dan seolah-olah menjadi zoo," dakwa Surendren.

Sebelum itu, Amer Hamzah Arshad yang turut mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengeluarkan perintah agar menghalang Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Arjunaidi Mohamed daripada memberikan apa jua kenyataan mengenai kes ini.

Bagaimanapun Majistret Ho berkata: "Mahkamah tidak akan membuat perintah mengenai perkara itu." Rajamorgan, 33, didakwa membunuh kanak-kanak K.Harresvaran malang itu di sebuah taman permainan kanak-kanak Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Ara, Petaling Jaya, antara 9.40 malam hingga 10.10 malam pada 4 Mac lalu.

Dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah memberitahu mahkamah pihaknya tidak dapat mengemukakan laporan kimia dan laporan bedah siasat mengenai kes itu kerana masih belum menerima apa-apa laporan yang dipohon oleh pihak pembelaan.

Ho kemudian menetapkan 16 April depan untuk sebutan bagi mendapatkan laporan kimia dan laporan bedah siasat serta mendapatkan surat izin untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain