suria

Lebih 100,000 Pelajar Miskin Kelantan Dapat Wang Ihsan

BACHOK: Lebih 100,000 pelajar miskin di sekolah-sekolah rendah dan menengah di Kelantan akan menerima pengagihan wang Ihsan yang membabitkan peruntukan sebanyak RM20 juta daripada RM25 juta mulai 3 April depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata bakinya RM5 juta itu pula akan diperuntukkan kepada mereka yang mengalami bencana alam seperti kebakaran, banjir dan membantu mangsa ribut.

Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata keutamaan akan diberikan kepada para pelajar yang tidak menerima bantuan di bawah dana Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

"Jumlah yang akan diterima oleh setiap murid sedang dinilai oleh jawatankuasa itu," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat khas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Parlimen Bachok di Perupuk di sini, hari ini.

Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan lebih RM25 juta tahun ini kepada Kelantan dalam bentuk wang ihsan hasil pengerudian telaga minyak oleh Petronas di luar perairan Kelantan.

Katanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin akan melancarkan penyampaian kepada kumpulan pertama dalam rangka lawatan sehari ke Kelantan pada 3 April depan.

Beliau berkata kesemua pelajar tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa akan menerimanya bagi meringankan beban ibu bapa masing-masing untuk membiayai persekolahan anak-anak.

"Walaupun pemilihan itu dibuat oleh guru-guru di sekolah mereka perlu mendapat sokongan dari Penyelia-penyelia Pembangunan Mukim (PPM) di kawasan masing-masing," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain