suria

Keselamatan Pesakit Jadi Tumpuan Utama

KUALA LUMPUR: Keselamatan pesakit menjadi matlamat utama untuk dicapai oleh semua peringkat sistem kesihatan di sektor awam mahupun swasta, kata Ketua Pengarahnya Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican. Agenda itu dipersetujui pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pesakit Malaysia yang diadakan untuk kali pertama tahun ini, kata beliau dalam satu kenyataan.

"Majlis Keselamatan Pesakit Malaysia telah melalui mesyuarat pertamanya bagi 2010 baru-baru ini dan bersetuju menjadikan isu keselamatan pesakit perlu diberi tumpuan utama oleh setiap badan profesional kesihatan.

"Kita berpendirian tegas dalam isu ini kerana ia tidak boleh dikompromi walau apa pun situasi yang kita hadapi," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Sehubungan itu, beberapa langkah akan dikuatkuasakan bermula tahun ini bagi menerajui usaha meningkatkan keselamatan sistem rawatan pesakit baik di sektor awam dan swasta.

Antara langkah-langkahnya ialah:

*keselamatan pesakit dijadikan agenda tetap dalam seminar atau mesyuarat saintifik yang dianjurkan kolej-kolej Akademi Perubatan Malaysia dan badan profesional dan juga mesyuarat pengurusan organisasi penjagaan kesihatan;

*semua hospital mesti memastikan amalan kebersihan tangan oleh semua pejawat dan pelawat;

*kesemua hospital perlu melaksanakan Program Keselamatan Pembedahan menggunakan pelan 'Malaysian Safe Surgery Implementation Guidelines' yang akan diagih ke seluruh negara tahun ini;

*Program Tinjauan Keselamatan Pesakit Kebangsaan di mana Ketua Pengarah Kesihatan akan melakukan pemeriksaan berkala secara rambang terhadap fasiliti penjagaan kesihatan kerajaan, universiti serta pihak swasta;

*pelaksanaan Sistem Laporan dan Pemantauan Keselamatan Pesakit bertujuan melaporkan insiden perubatan yang berlaku di hospital-hospital swasta.

*pelaksanaan Tinjauan Keselamatan Ubatan dan Jangkitan Hospital di mana semua organisasi rawatan kesihatan dikehendaki melaporkan kesilapan ubat-ubatan serta jangkitan hospital untuk proses penambahbaikan.

*pelaksanaan Audit Keselamatan Kejururawatan pada peringkat kebangsaan digalakkan disemua hospital utama awam dan swasta bertujuan meningkatkan keselamatan rawatan kejururawatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain