suria

Kedai Pakaian Diserbu Jual Perangsang Seks Di Miri

MIRI: Rahsia sebuah kedai menjual pakaian yang baru beroperasi di sini sejak beberapa bulan lepas terbongkar semalam apabila sepasukan polis menemui pelbagai barangan perangsang seks dijual di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Jamaludin Ibrahim hari ini berkata 13 barangan terlarang berkenaan yang dianggarkan bernilai RM3,000 dirampas dari kedai itu yang terletak di salah sebuah kompleks membeli-belah di bandar raya ini.

"Semasa serbuan, polis menahan dua lelaki masing-masing berumur 26 dan 41 tahun, di mana tangkapan dibuat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana disyaki menjual bahan-bahan lucah," katanya pada sidang berita di sini.

Beliau berkata polis telah mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk menahan reman kedua-dua lelaki berkenaan hari ini bagi meneruskan siasatan.

Serbuan yang dibuat di sini merupakan sebahagian daripada operasi menyeluruh polis untuk membanteras kegiatan penjualan bahan-bahan lucah di negara ini, katanya.

Sementara itu, Jamaludin berkata kejadian jenayah indeks antara Januari sehingga semalam di Miri menurun sebanyak 19.56 peratus, manakala kejadian jenayah jalanan pula menurun 26 peratus.

Katanya jumlah kes jenayah indeks yang dilaporkan dalam tempoh berkenaan adalah sebanyak 439, berbanding 541 dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala jumlah kes jenayah jalanan pula adalah 34 berbanding 46 kes tahun lepas.

Walaupun peratusan penurunan yang dicapai setakat ini melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI)di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) jabatan berkenaan, Jamaludin yakin peratusan ini boleh ditingkatkan lagi.

"Keyakinan ini timbul ekoran daripada peningkatan kerjasama polis dengan masyarakat di sini khususnya dalam penyaluran maklumat pencegahan jenayah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain