suria

Bekas Pengarah Jabatan Perhutanan Didakwa Setuju Terima Rasuah RM20,000

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Jabatan Perhutanan Kedah, Kasim Osman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan setuju terima rasuah RM20,000 daripada sebuah syarikat balak dari Alor Setar tahun lepas. Kasim, 56, didakwa melakukan kesalahan tersebut di bilik 1810 Grand Seasons Hotel, Jalan Pahang antara pukul 12 hingga 12.45 tengahari pada 16 Julai tahun lalu.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada 2 Mac lalu di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kasim turut mengaku tidak bersalah menerima suapan RM5,000 daripada seorang bernama Yee Gan Seng dari syarikat AK Millenium Enterprise Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu sebagai dorongan supaya membantu dan meluluskan permohonan syarikat AK Millenium Enterprise untuk menarik balik tender membalak di Kompartmen 71-A, Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik.

Timbalan Pendakwa Raya Fadzillah Mohd Osman meminta mahkamah agar kes hari ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, untuk membolehkan kedua-dua pertuduhan terhadap Kasim dibicarakan bersama.

Hakim SM Komathy Suppiah membenarkan permohonan tersebut dan ikat jamin ditentukan oleh hakim yang akan mendengar perbicaraan itu nanti.

Sebelum ini mahkamah di Alor Setar telah menetapkan perbicaraan kesnya pada 10 dan 11 Mei ini.

Kasim diwakili peguam Mohd Firus Jaffril. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain