suria

Warga Bangladesh Dalang Sindiket Visa Palsu

NIBONG TEBAL: Polis membongkar sindiket membuat visa pekerja asing palsu yang didalangi warga Bangladesh selepas menyerbu sebuah flat di Bukit Panchor di sini pada 5 Mac lalu, dan menahan dua rakyat negara tersebut.

Namun polis masih mencari dalang berkenaan yang dikenali sebagai Al Mager Sadar atau Wahid berusia lingkungan 30-an.

"Kita percaya dia merupakan dalang kepada sindiket yang bergerak aktif di negeri ini sejak beberapa bulan lepas," kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Shafien Mamat.

Beliau berkata dua warga Bangladesh yang ditahan itu berumur 30 dan 38 tahun.

"Kedua-dua mereka bekerja kilang di sini dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit," katanya.

Shafien berkata kedua-duanya telah didakwa di mahkamah pagi ini di bawah Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1956/63.

Turut ditemui dalam serbuan itu ialah lima pasport Bangladesh yang tulen dan sekeping pas lawatan kerja sementara yang telah tamat tempoh, katanya.

Dalam kes berasingan, polis sedang mencari seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Nyamuk' yang dipercayai menjalankan kegiatan jenayah dengan menggunakan senjata api.

"Goey Chin Boon, 46, yang turut dikenali Wei Zei sangat berbahaya dan kita sedang mengesannya bagi membantu beberapa kes jenayah menggunakan pistol," kata Shafien. - BERNAMA

Artikel Lain