suria

Tuduhan Pembangkang 1Malaysia Meniru Konsep Israel Satu Pembohongan

KUALA LUMPUR: Tuduhan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa konsep 1Malaysia meniru konsep yang sama daripada kerajaan Israel, adalah pembohongan dan hanya bermotifkan politik semata-mata, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Khairy, yang juga Anggota Parlimen Rembau, mencabar ketua pembangkang itu menarik balik kenyataan yang buatnya dalam Dewan Rakyat semalam atau membuat kenyataannya tersebut di luar Dewan Rakyat agar tindakan mahkamah boleh diambil kelak.

"Ini perkara serius, kita tak boleh membuat tuduhan tanpa mempunyai fakta, saya melihat banyak kenyataan semalam daripada ketua pembangkang adalah kenyataan bermotifkan politik yang bukan sahaja mengelirukan anggota Dewan Rakyat tetapi pembohongan besar kepada rakyat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Anggota Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan Umno.

Selain itu, beliau turut membaca kenyataan yang dibuat oleh APCO Worldwide yang dikeluarkan hari ini bahawa dakwaan pembangkang dalam Dewan Rakyat semalam bahawa APCO Worldwide mewakili kerajaan Israel atau Perdana Menteri Ehud Barak adalah tidak benar.

APCO dalam kenyataan tersebut memberitahu bahawa pihaknya tiada kaitan langsung dengan sebarang kempen membabitkan konsep "One-Israel" dalam kerajaan Israel dan juga tidak mencipta konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Khairy.

APCO Worldwide ialah sebuah syarikat komunikasi strategik antarabangsa yang berpangkalan di Washington D.C., Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ahmad berkata dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) mengupah bekas wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menjadi wakil rakyat bebas adalah tidak benar. - BERNAMA

Artikel Lain